BERNAMA

Kuching: Satu upacara memberi penghormatan terakhir buat Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia pagi tadi, akan diadakan pada Rabu ini.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan upacara berkenaan diadakan di Association of Churches in Sarawak, Jalan Stampin, di sini.

"Sesi untuk orang kenamaan adalah pada 8.30 hingga 9.30 pagi diikuti sesi untuk orang awam mulai 9.30 pagi hingga 2 petang.

"Orang ramai yang datang dinasihatkan berpakaian kemas dan juga menjalani ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) COVID-19," menurut kenyataan itu.

Menurut UKAS, mendiang Masing meninggal akibat komplikasi jantung dan ujian Covid-19 beliau yang terakhir adalah negatif.

"Jenazah akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching, selepas selesai upacara penghormatan terakhir," menurut UKAS.

Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi. Beliau berusia 72 tahun.

Mayat mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing, dibawa keluar ke kediamannya di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mayat mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing, dibawa keluar ke kediamannya di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:17 PM