Nurul Farhana mengemas kelasnya.
Nurul Farhana mengemas kelasnya.
Hajar Umira Md Zaki


Langkawi: Bagi 'meraikan' kedatangan semula murid bagi sesi pembelajaran secara bersemuka, seorang guru di sebuah sekolah rendah di pulau ini mengambil inisiatif mengecat semula meja murid sebelum bermulanya sesi persekolahan.

Nurul Farhana Ahmad Sukre, 32, berkata, sebelum ini keadaan meja di kelas muridnya itu hanya dibaluti kertas dinding yang terkoyak kerana sudah terlalu lama terbiar.

"Sebelum ini, saya dibantu guru lain mengemas kelas, tetapi untuk mengecat meja itu, saya buat sendiri dan mengambil masa sekejap sahaja untuk siapkan 30 meja.

"Saya harap dengan usaha ini, murid akan berasa lebih semangat dan selesa untuk belajar di sekolah selepas sekian lama tidak belajar secara bersemuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Guru subjek Bahasa Malaysia bagi kelas Tahun Tiga ini berkata, usahanya itu juga sebagai kejutan kepada murid untuk terus bersemangat ke sekolah.

Ketika ditanya mengenai video TikTok miliknya yang tular baru-baru ini, Nurul Farhana berkata, dia terkejut dan tidak menyangka video berkenaan mendapat perhatian netizen.

"Saya baru sahaja membuat akaun TikTok (untuk memuat naik video) simpan sebagai kenangan sebab saya baru sahaja pindah ke Langkawi. Di sini banyak tempat menarik untuk dijadikan kenangan.

"Namun, saya tak sangka pula video mengecat mendapat perhatian orang ramai sebab itu untuk simpanan saya sendiri sahaja sebenarnya," katanya.

Video yang berdurasi 20 saat itu mendapat lebih 200,000 tontonan dan 17,000 tanda suka.

Malah, rata-rata warganet memuji usaha Nurul Farhana dalam memberikan yang terbaik untuk menaikkan semangat untuk belajar muridnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 3:55 PM