SAJAT.
SAJAT.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa disarankan segera mempercepatkan ekstradisi usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat supaya segera kembali ke Malaysia.

Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Armada Malaysia, Mohd Firdaus Yusoff berkata, Nur Sajat perlu dibawa pulang bagi membolehkan dia didakwa di mahkamah dan mahkamah syariah serta dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan.

Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi, pihaknya mencadangkan supaya proses mahkamah bagi kes sebegini dipercepatkan.

"Perlu diberi penekanan bahawa negara serius menghadapi kumpulan ini yang selalu menonjolkan mereka menggunakan ruang demokrasi bagi menghalalkan cara kehidupan dan mempengaruhi masyarakat sekeliling.

"Tiada ruang kompromi harus diberi kepada kumpulan ini yang akhirnya boleh mencemarkan prinsip rukun negara bukan sahaja kepercayaan kepada tuhan, bahkan mencemar segenap nilai dalam rukun negara.

"Nur Sajat telah melanggar fitrah manusia dan pegangan asas agama dengan cuba menukar fitrah kejadian beliau seorang lelaki," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Mohd Firdaus berkata, sebagai rakyat yang patut setia kepada Raja dan Negara, tindakan melarikan diri dan cuba mendapatkan perlindungan dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.

"Perlembagaan Negara tidak pernah mengkiktiraf atau cuba mengkiktiraf kelompok LGBT. Budaya ini bukan sahaja tidak diterima dalam norma tempatan, bahkan norma rumpun Asia yang jelas tiada satu negara dirantau ini menerima kelompok ini secara sah.

"Sebagai individu yang lahir dan membesar dalam kalangan masyarakat yang penuh dengan adat kesopanan dan kesusilaan, tingkah laku dia ini melawan dan mencemarkan kemuliaan ini," katanya.

Beliau berkata, tahniah dan terima kasih kepada pihak Kerajaan Malaysia dan Thailand atas kerjasama baik sehingga tertangkapnya individu kontroversi yang melarikan diri sejak beberapa bulan lalu.

"Perlu ada tindakan yang benar-benar tegas dan jelas kepada Nur Sajat sebagai pengajaran kepada golongan yang cuba bersimpati ke atasnya dan teladan kepada yang lain," katanya.

Akhbar ini dalam laporan ekslusif sejak Isnin lalu melaporkan, misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Dia kini menggunakan nama Bella ketika berada bersama rakannya di Bangkok Thailand.

Usahawan itu juga dikatakan mempunyai kad UNHCR sebagai jaminan tidak ditahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 5:05 PM