BOMBA mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengusung mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Kanowit: Lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa memanjat pokok buah dabai setinggi 10 meter di Jalan Lukut-Penyulau, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Ting Siew Kiong, 52.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata, ketika kejadian, lelaki itu dikatakan menggunakan penjolok aluminium bagi memudahkan urusan menjolok buah.

"Sebaik sahaja sampai di atas pokok, mangsa bertindak menjolok buah dabai berkenaan dengan menggunakan penjolok aluminium sebelum ia terkena pada kabel elektrik berhampiran pokok lalu terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Kanowit bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, pasukan bomba meminta bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya memutuskan elektrik di kawasan terbabit bagi tujuan keselamatan.

Menurutnya, bagi memudahkan urusan mengeluarkan mayat mangsa, pasukan bomba menggunakan Sky Lift Crane Cage milik SEB.

"Pasukan bomba katanya mengambil masa selama dua jam bagi menurunkan mayat mangsa yang tersangkut pada dahan pokok

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong mengesahkan laporan,

Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 8:15 AM