DATUK Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kiri) melihat proses pendaratan ikan tuna pada Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, Pelabuhan Pulau Pinang hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kiri) melihat proses pendaratan ikan tuna pada Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, Pelabuhan Pulau Pinang hari ini. FOTO Bernama
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Malaysia merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan metrik bernilai RM520 juta hanya dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos lalu.

Ia menunjukkan kerajaan tetap memberi komitmen penuh dalam pengurusan tuna di pelabuhan walaupun negara dilanda pandemik Covid-19.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah pendaratan itu, pelabuhan Pulau Pinang menerima pendaratan tuna sebanyak 20 kali yang mana sebanyak 1,301 tan metrik dieksport ke negara Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.

"Melihat kepada hasil pendaratan ini, kerajaan menggalakkan sehingga 70 vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030.

"Ini bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30,000 tan metrik tercapai," katanya ketika Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga Ogos lalu, sebanyak 20 vesel tuna iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna dilesenkan dan sudah beroperasi di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Ronald berkata, Mafi bakal melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara yang menyeluruh selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Untuk rekos, Malaysia mempunyai dua pelabuhan pendaratan ikan tuna iaitu di Pulau Pinang dan di Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:42 PM