Tindakan suspek (berbaju biru, helmet merah) yang meragut salah seorang mangsa tular apabila perbuatannya itu dirakam menerusi kamera depan sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian. FOTO MELVIN JONI
Tindakan suspek (berbaju biru, helmet merah) yang meragut salah seorang mangsa tular apabila perbuatannya itu dirakam menerusi kamera depan sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah ragut sekitar bandar raya ini dicekup, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 5 petang susulan dua laporan kes ragut yang dibuat oleh dua mangsa pada 3 September lalu, yang masing-masing berlaku di Taman Hui Sing dan Pusat Komersial Stutong.

Katanya, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 39 diragut lelaki menaiki motosikal yang tidak diketahui nombor pendaftarannya ketika pulang membeli barang keperluan rumah.

"Hasil tangkapan suspek, polis merampas motosikal dan topi keledar yang digunakan suspek.

"Suspek juga mengaku melakukan kedua-dua kes ragut berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan barang kemas milik mangsa.

Katanya, semakan rekod jenayah turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod iaitu satu jenayah ragut, dua jenayah kekerasan dan 12 berkaitan dadah.

Beliau berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan berhubung dua aduan berkenaan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun, denda atau sebat.

Terdahulu, tindakan suspek meragut seorang daripada mangsa tular di media sosial apabila perbuatannya itu dirakam menerusi kamera depan sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian.

Dia kelihatan meragut rantai emas mangsa yang ketika itu berada di dalam kereta namun cermin tingkap di bahagian pemandu dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 12:30 PM