Abdul Azeez.
Abdul Azeez.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim belum dibebaskan daripada pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram, dan perbicaraan kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan tadi berkata, laporan media yang memetik hujahan peguam bela Amer Hamzah Arshad, seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez sudah bebas daripada kesemua tuduhan berkenaan, sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes itu.

"Amer Hamzah yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah, SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan itu hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah," kata SPRM dalam kenyataannya.

Menurut kenyataan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu yang masih dalam perbicaraan, sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan.

Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram, dan permohonannya untuk membatalkan tuduhan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lepas ditolak mahkamah.

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

Abdul Azeez, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:20 PM