GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Penularan jangkitan Covid-19 di Pulau Perhentian, Besut menyebabkan lebih 2,000 penduduk di pulau peranginan itu dikenakan sekatan pergerakan sejak Jumaat lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pelaksanaan sekatan pergerakan itu bagi mengawal pergerakan penduduk dalam usaha mengekang penularan virus itu.

Beliau berkata, sebanyak 53 kes positif dikesan sejak 20 Ogos lalu (Jumaat) hasil ujian saringan yang dijalankan disyaki berpunca daripada pergerakan penduduk ke bandar (tanah besar).

"Kesemua penduduk yang positif dibawa ke darat (tanah besar) bagi menjalani kuarantin serta rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Besut.

"Bagaimanapun, seorang pesakit yang berada pada kategori empat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Ketika ini, semua penduduk dipakaikan gelang bagi memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka dan hanya pembekal makanan sahaja dibenarkan memasuki pulau berkenaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Stadium Negeri Kuala Terengganu sebagai PKRC Bersepadu di sini, semalam.

Dr Kasemani berkata, kesemua penduduk, pengusaha chalet serta pemilik resort di pulau berkenaan dijangka selesai menjalani ujian saringan besar-besaran, hari ini.

Katanya, sekatan pergerakan itu akan diteruskan sehingga keadaan terkawal dan berharap penduduk setempat dapat bersabar dan mematuhi arahan ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 9:05 AM