IKAN yang ditemui mati dalam Sungai Penchala. FOTO Kementerian Alam Sekitar dan Air
IKAN yang ditemui mati dalam Sungai Penchala. FOTO Kementerian Alam Sekitar dan Air
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengambil tindakan terhadap premis kilang yang didapati melepaskan efluen mentah ke longkang sehingga menyebabkan hidupan air di Sungai Penchala, Petaling Jaya, mati, Khamis lalu.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu akan diambil mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020.

Jelas LUAS, selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melaporkan mengenai insiden berkenaan, siasatan segera dilakukan berhampiran Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya dan menemukan bangkai ikan yang hanyut.

Katanya, pensampelan in-situ yang dijalankan oleh LUAS di dua lokasi hulu sungai mendapati kandungan Oksigen Terlarut (DO) adalah baik iaitu di antara 3.2mg/l (miligrams per liter) ke 4.33mg/l, manakala kandungan Ammonia adalah 2mg/l.

"Siasatan ke hilir sungai menemukan ratusan ekor bangkai ikan di beberapa kawasan yang dipercayai mati berpunca daripada pencemaran air sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum aduan dibuat (Khamis).

"Pensampelan yang dijalankan di lokasi ketiga mendapati kandungan DO juga baik iaitu 3.68mg/l serta Ammonia 2mg/l bagaimanapun, air di kawasan itu berwarna keruh dan dilihat mengalir memasuki ke Sungai Penchala. Pensampelan kandungan nilai pH aliran air tersebut mencatatkan bacaan pH 12," jelas kenyataan itu.

Menurut LUAS, siasatan diteruskan ke Jalan Professor Koy Khee Kim mendapati keadaan longkang masih keruh dan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada premis kilang yang sedang beroperasi kira-kira 165 meter ke Sungai Penchala.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilaksanakan di premis kilang berkenaan mendapati kilang melepaskan efluen mentah ke longkang berkenaan dan merekodkan bacaan 10 selepas ujian pH dijalankan.

"Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Negeri Selangor sudah menjalankan pensampelan ikan dan air sungai di lokasi pencemaran bagi tujuan analisa dan forensik lanjut punca sebenar kejadian manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan pemeriksaan di loji rawatan kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) berhampiran Sungai Penchala.

"Berdasarkan penemuan ini, LUAS akan mengambil tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, yang mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:53 PM