Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Alzahrin Alias dan Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) dilancarkan kerajaan tadi, bagi memperkenalkan semula peranan dan memperbaharui kemampuan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PERKUKUH merangkumi 20 inisiatif, dilaksana sehingga 2024 bagi mencapai lima hasil utama disasarkan, dengan usaha juga digandakan bagi mendepani cabaran ekonomi kesan pandemik covid-19.

Beliau berkata, lima hasil utama itu adalah mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC, peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesan sosio-ekonomi.

Selain itu katanya, ia bagi menyemarakkan lagi pelaburan di dalam sektor swasta sambil menyelaraskan peranan kerajaan dan agensinya dalam perniagaan, mewujudkan GLIC yang bersiap siaga menghadapi masa depan dengan tadbir urus, keupayaan dan strategi terbaik serta memperkukuh perlindungan sosial dan ketahanan fiskal.

"GLIC akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Dana Kekayaan Negara (SWF) di satu pihak merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Bhd (KNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc).

"Manakala kategori kedua adalah pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)," katanya ketika melancarkan PERKUKUH secara maya tadi.

Hadir sama dalam program pelancaran secara maya itu adalah, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pengerusi-pengerusi GLIC.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi GLIC kategori SWF ia, akan dilaksanakan penyeimbangan semula fokus antara pulangan kewangan dan hasil sosio-ekonomi, dengan keutamaan utama adalah pelaburan modal berhemah melalui pendekatan yang lebih strategik dan disasarkan ke bidang pertumbuhan baharu.

"Sementara itu, GLIC kategori Pelabur Institusi akan mempertahankan mandat untuk memaksimumkan pulangan pencarum, sama ada pesara di masa depan mahupun mereka yang ingin menunaikan haji, sambil memainkan peranan sinergistik dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

"Ini akan merangkumi pendekatan yang lebih mantap dan lebih berskala besar bagi merangkumi tanggungjawab sosial korporat dan menyokong keutamaan nasional seperti ESG dan pembiayaan pelaburan hijau," katanya.

Beliau berkata, PERKUKUH juga akan mengoptimumkan operasi SWF dan Pelabur Institusi yang relevan di mana pengurusan kelas-kelas aset tertentu akan digabungkan untuk mencapai ekonomi skala atau economies of scale dan pulangan yang lebih baik.

"Dengan wujudnya mandat yang jelas, setiap GLIC berupaya menajamkan lagi fokus bagi peranan yang dipertanggungjawabkan, serta memaksimumkan impak dalam portfolio dan bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Muhyiddin berkata, PERKUKUH akan mendorong peruntukan modal yang optimum dan memperincikan lagi hasil yang disasarkan dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu yang amat strategik.

"Untuk memastikan bidang-bidang ini selaras dengan langkah-langkah dasar utama Kerajaan seperti MyDigital, Rancangan Malaysia ke-12 dan SPV 2030 yang bakal dilaksanakan membabitkan penubuhan sebuah majlis khas iaitu Majlis Penyelarasan Pertumbuhan Baharu yang dipengerusikan saya.

"Ekosistem yang dibina bagi bidang-bidang pertumbuhan baru akan dirancang untuk memacu peningkatan pelaburan sektor swasta bagi jangkamasa panjang. Khazanah Nasional Berhad misalnya, akan memulakan pembangunan ekosistem pertumbuhan baharu melalui Dana Impak bernilai RM6 bilion.

"Sememangnya pada saat ini, usaha sedang bergiat untuk memulakan pelaburan bersama dengan beberapa pelabur institusi antarabangsa dan dana kekayaan negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:29 PM