Mogan Arumugam memeriksa harga minyak masak di Kuching. FOTO IHSAN KPDNHEP
Mogan Arumugam memeriksa harga minyak masak di Kuching. FOTO IHSAN KPDNHEP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak melaksanakan pemantauan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi penetapan maksimum minyak masak sawit tulen.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak, Mogan Arumugam berkata, pemantauan dan pemeriksaan itu turut dilaksanakan di kawasan luar bandar dan pedalaman membabitkan 179 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga.

Menurutnya, selain meninjau harga, pemantauan itu juga bagi memastikan bekalan barang keperluan asas terkawal dan stabil.

"Sebanyak 56 premis perniagaan diperiksa oleh KPDNHEP seluruh Sarawak semalam dan didapati peniaga mematuhi harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit yang ditetapkan.

"Pemantauan itu dilaksanakan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan pengumuman itu, harga minyak masak sawit botol lima kilogram ditetapkan pada harga kawalan untuk tidak melebihi RM30 sebotol.

"Dengan pelaksanaan harga kawalan minyak masak tulen ini, pengguna dijamin mendapatkan minyak masak di bawah harga RM30 untuk lima kilogram dan pada lain-lain kuantiti tanpa mengira kedudukan harga sawit semasa.

"Harga runcit maksimum yang diwartakan adalah satu kilogram pada harga RM6.70, dua kilogram berharga RM12.70, tiga kilogram pada harga RM18.70 dan lima kilogram RM29.70," katanya.

Selain itu menurutnya dalam tempoh Januari sehingga 1 Ogos lalu, KPDNHEP Sarawak memeriksa sebanyak 41,913 premis perniagaan pelbagai peringkat seperti ladang, pengilang, pengimport, pengeluar, pemborong dan peruncit meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 841 kes direkodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM1,803,675.19 dan jumlah kompaun sebanyak RM87,300," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 12:12 PM