FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Rohaniza Idris dan Luqman Arif Abd Karim


Shah Alam: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Pharmaniaga membuka tempahan 14 juta vaksin Sinovac untuk pembelian oleh kerajaan negeri dan pihak swasta yang berminat.

Menurut Ismail Sabri, tempahan itu dibuka selepas diluluskan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berikutan permohonan banyak pihak terhadap vaksin berkenaan.

Kata beliau, dengan adanya tempahan khusus untuk kerajaan negeri dan swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), ia akan membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan lebih awal daripada apa yang dirancang.

"Tempahan dibuka sekarang namun kelulusan kerajaan negeri dan swasta mendapatkan bekalan itu masih tertakluk kepada kelulusan JKJAV," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Kelompok Terakhir Bekalan Vaksin Sinovac oleh Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ismail Sabri berkata, harga akan ditentukan kemudian dan ada sesetengah negeri, beberapa GLC, syarikat dan hospital swasta sudah pun membuat tempahan awal sebelum tempahan dibuka.

"Semua 14 juta vaksin Sinovac untuk kerajaan negeri dan swasta bagi pembelian terus ini adalah melalui pengisian dan pembotolan di Malaysia," katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Pharmaniaga sudah membekalkan 14.4 juta vaksin Sinovac kepada KKM yang mana 12.4 juta sudah diterima dan dua juta lagi diluluskan pada 19 Julai lalu.

Kata beliau, dengan adanya tambahan dua juta lagi vaksin berkenaan, ia bermakna 22.5 peratus penduduk diberikan vaksin Sinovac.

"Pada masa ini 20 peratus penduduk sudah menerima vaksin berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, tambahan dua juta vaksin itu sudah ada dalam simpanan Pharmaniaga dan akan diserahkan kepada KKM pada bila-bila masa.

Beliau menegaskan, vaksin Sinovac dijamin halal dan meminta orang ramai tidak mempercayai pelbagai dakwaan mengenai status halal vaksin itu.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:16 PM