Makanan tambahan haiwan yang dirampas MAQIS dipercayai cuba diseludup dari Thailand ke negara ini kelmarin di ICQS Bukit Kayu Hitam. FOTO Ihsan MAQIS
Makanan tambahan haiwan yang dirampas MAQIS dipercayai cuba diseludup dari Thailand ke negara ini kelmarin di ICQS Bukit Kayu Hitam. FOTO Ihsan MAQIS
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 10 tan makanan tambahan haiwan bernilai RM377,487 yang cuba diseludup dari Thailand ke negara ini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 5.15 petang, lori membawa 400 kotak makanan itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarah Maqis Kedah Lily Rosalind Paul berkata, pemeriksaan mendapati makanan tambahan haiwan itu dibawa masuk tanpa permit import yang sah daripada jabatan itu.

"Mengimport tanpa permit yang dikeluarkan oleh Maqis adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lily berkata, akta berkenaan diguna pakai bagi menjamin keselamatan makanan negara selain mengawal penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 3:26 PM