GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abbdullah


Kota Kinabalu: Seorang tutor wanita mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Remaja berusia 17 tahun itu dikatakan menjadi tutor sebuah keluarga di Kampung Melaman, Sipitang, menyebabkan semua tujuh ahli keluarga terbabit dijangkiti Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks itu bergejala demam sejak 26 Jun lalu tetapi tidak mendapatkan sebarang rawatan.

"Kluster Kampung Melaman di Sipitang itu adalah penularan jangkitan dalam komuniti. Kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap tujuh sekeluarga di Klinik Sindumin pada 9 Julai selepas tiga hari mengalami demam, sakit kepala dan sakit sendi.

"Kes indeks ialah seorang tutor wanita berusia 17 tahun yang mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala sama sejak 26 Jun lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, pengesanan dan saringan kontak dijalankan selepas itu mendapati berlaku pertambahan kes membabitkan epidemiologi yang sama iaitu sejarah menghadiri majlis keagamaan di Kampung Melaman.

Setakat hari ini, katanya jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster itu meningkat kepada 37 kes, termasuk 14 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini.

Beliau berkata, kluster itu menjadi penyumbang tertinggi kes baharu di Sipitang hari ini yang secara keseluruhan merekodkan 17 kes, dengan tiga daripadanya dikesan menerusi saringan kontak rapat.

"Daerah Sipitang juga antara empat daerah yang merekodkan peningkatan kes paling ketara pada hari ini, iaitu meningkat 15 kes berbanding hanya dua kes yang dilaporkan semalam.

"Tiga daerah lagi ialah Papar, Sandakan dan Keningau. Di Papar Covid-19 meningkat kepada 21 kes hari ini berbanding hanya satu kes semalam, manakala di Sandakan meningkat kepada 25 kes berbanding tujuh kes semalam.

"Daerah Keningau pula merekodkan 13 kes baharu pada hari ini, berbanding hanya tiga kes semalam," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan 286 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan empat kematian iaitu masing-masing satu di Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu, manakala seramai 284 pesakit dilaporkan sembuh.

Setakat hari ini, penggunaan katil pesakit Covid-19 di Sabah mencecah 48.5 peratus daripada 4,318 jumlah katil yang disediakan di hospital Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 9:58 PM