AYOB Khan (tengah) mengadakan lawatan bersempena Op Bantu di Taman Cendana, Pasir Gudang.FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan (tengah) mengadakan lawatan bersempena Op Bantu di Taman Cendana, Pasir Gudang.FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Pasir Gudang: Semua 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor dibekalkan 300 bakul makanan dilengkapi barangan keperluan asas untuk diagih kepada golongan memerlukan sempena Op Bantu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, agihan Op Bantu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengesan penerima yang layak dan golongan yang memerlukan bantuan.

"Setiap IPD dibekalkan 300 bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan terdiri daripada keluarga daif, orang kurang upaya (OKU) dan yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.

"Mana-mana masyarakat yang memerlukan bantuan, mereka boleh berhubung dengan IPD masing-masing dan kita akan pastikan sumbangan ini sampai ke tangan mereka," katanya kepada .

Terdahulu, Ayob Khan turun padang menyerahkan bantuan di tiga lokasi membabitkan kawasan IPD Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan hari ini.

Op Bantu adalah inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan bantuan makanan dari kerajaan.

Melalui Op Bantu, semua IPD seluruh negara dijadikan sebagai pusat pengagihan bantuan bekalan makanan bagi masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, bekas anggota polis ketika era darurat yang tinggal di Blok 43, Taman Cendana di sini, turut menerima sumbangan melalui Op Darurat.

Suliman A Hakim, 85, pernah berkhidmat selama lima tahun di Tapah dan Kampar, Perak sebelum bersara di Cameron Highlands, Pahang pada 1959.

Isterinya, Sulam Ahmad, 61, berkata kehadiran Ketua Polis Johor itu memberi makna kepada mereka sekeluarga.

"Suami saya kini hanya terlantar selepas lututnya sakit teruk sejak Ogos lalu dan doktor sarankan pembedahan tetapi dia tidak mahu.

"Saya dan anak (Siti Sarah, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam), bersama menguruskan rutin hariannya seperti mandi, suapkan makanan dan memakaikan lampin pakai buang.

"Selepas suami bersara, dia pernah bekerja sebagai tukang kebun di sekolah, manakala saya pula bekerja sebagai pengurus stor di sebuah pasar raya. Kami ada simpanan, itu yang digunakan untuk menampung perbelanjaan harian," katanya.

Sulam berkata, selain mendapat bantuan 'one off' kerajaan negeri, dia juga mendapat bantuan berkala daripada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Komuniti setempat sangat prihatin menyalurkan bantuan tanpa putus terutama pandemik Covid-19 sedang melanda, saya bersyukur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:57 PM