APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyal diesel sebanyak 3,000 liter ke Thailand selepas menahan sebuah bot pukat hanyut di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON KUALA PERLIS
APMM Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyal diesel sebanyak 3,000 liter ke Thailand selepas menahan sebuah bot pukat hanyut di Kuala Perlis. FOTO IHSAN APMM ZON KUALA PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup 3,000 liter diesel ke negara jiran selepas menahan sebuah bot pukat hanyut di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, dalam kejadian 6.15 pagi, bot pukat hanyut itu dikesan melakukan aktiviti penyeludupan di kedudukan 0.1 batu nautika barat pantai Kuala Perlis.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan pemeriksaan di lokasi terbabit.

"Kita mengesan dua suspek mengemudi bot terbabit dalam keadaan mencurigakan sedang keluar dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand.

"Bot berkenaan memecut laju dengan berpatah balik menghala ke jeti LKIM Kuala Perlis dan suspek melompat ke atas jeti untuk meloloskan diri," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot mendapati ia sudah diubahsuai di mana petak ikan di bahagian hadapan dijadikan tangki minyak.

"Sebanyak 3,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM6,450 ditemui bersama satu bungkusan plastik disyaki daun ketum seberat dua kilogram bernilai RM360 yang turut cuba diseludup ke negara Thailand," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Semua rampasan dan bot dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 8:16 PM