TABUNG derma anak yatim yang dipecah dalam kejadian di Masjid Al Faizin Bukit Lintang. IHSAN POLIS
TABUNG derma anak yatim yang dipecah dalam kejadian di Masjid Al Faizin Bukit Lintang. IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Dua 'toyol' yang aktif mencuri wang tabung derma anak yatim diletakkan di masjid akhirnya berjaya diberkas polis kira-kira lima jam selepas melakukan jenayah.

Suspek lelaki berusia 29 tahun dan rakannya berusia 16 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di kawasan perumahan di Ayer Molek di sini, jam 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis sebelum itu menerima laporan dibuat seorang jemaah masjid memaklumkan berlaku kejadian pecah tabung derma di pintu masuk Masjid Al- Faizin, Kampung Bukit Lintang di sini, jam 9.55 pagi semalam.

Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu mendapati dua suspek memakai topi keledar dan pelitup muka masuk ke masjid kira- kira jam 4.32 pagi.

"Tangkapan pertama dibuat terhadap suspek remaja lelaki sebelum tangkapan kedua dilakukan di kawasan perumahan sama.

"Polis turut menemui wang tunai berjumlah RM165, alat pemotong besi, topi keledar, pakaian, walkie talkie serta pengecasnya," katanya tadi.

Beliau berkata, siasatan mendapati wang dilarikan itu adalah wang sumbangan tabung derma milik Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat Melaka Pindah, Alor Gajah, berjumlah kira- kira RM278.

"Polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes membabitkan pecah masuk pejabat sekolah dan pecah tabung masjid di kawasan Kandang serta Tiang Dua di sini, susulan penahanan suspek.

"Malah semakan dilakukan juga mendapati suspek remaja lelaki mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan manakala rakannya Seksyen 457 kanun sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 4:53 PM