Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bapa kepada enam anak terpaksa menanggung derita apabila ketumbuhan di mata kanannya kini membesar akibat kanser kulit dideritai sejak tiga tahun lalu.

Zaharah Daud, 66, berkata, suaminya, Nawi Sulaiman, 74, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori disahkan menghidap kanser kulit pada 2018 dan selepas itu terdapat ketumbuhan sebesar ibu jari di tepi mata sebelah kanan suaminya yang kini semakin membesar.

Katanya, pada awal ketumbuhan itu dikesan, suaminya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan dalam tempoh lebih setahun berulang alik hospital, ketumbuhan itu semakin hari semakin membesar.

"Sebelum ini, doktor pernah mengambil sampel biopsi di bahagian kulit wajahnya dan mengikut perancangan doktor, suami saya sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi untuk mengejutkan sel kanser, namun disebabkan perasaan takut selain faktor usia dan juga kekangan kewangan, suami saya menolaknya.

"Walau bagaimanapun, doktor mencadangkan suami saya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian mata kanannya yang semakin membesar kerana bimbang sel kanser merebak ke bahagian organ dalaman yang lain, tetapi suami saya tetap dengan pendiriannya disebabkan perasaan takut.

"Setakat ini, suami saya tidak membuat sebarang rawatan lanjut termasuk rawatan kimoterapi. Saya dan anak-anak yang lain, sudah beberapa kali memujuknya supaya meneruskan rawatan di hospital kerana bimbang kanser itu semakin mengganas, tetapi dia tetap tidak mahu dan setiap kali terpandang wajahnya hati saya sebak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Mati Mahligai, di sini, hari ini.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat Abdul Aziz Kadir yang menyumbangkan katil boleh laras selain barang keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan beban ditanggung.

Zaharah berkata, lebih menyedihkan lagi selain diduga dengan penyakit kanser, suaminya juga lumpuh dari paras pinggang ke bawah pada April lalu selepas diserang angin ahmar dan sejak itu dia perlu memakai lampin pakai buang.

"Dalam pada itu, bagi memastikan tidak ada jangkitan di bahagian mata kanan suami, saya akan mencuci luka itu sebanyak tiga kali sehari menggunakan kapas dan juga air suling yang dibeli di farmasi.

"Setiap bulan, saya perlu membelanjakan RM1,000 untuk membeli keperluan suami termasuk alatan mencuci selain susu lampin pakai buang.

"Bagi membeli keperluan suami, saya hanya mengharapkan bantuan saudara mara dan sedekah orang yang datang menziarah memandangkan anak yang lain hanya bekerja kampung dan bukan dalam kalangan orang yang senang selain mempunyai tanggungan.

"Saya amat harap orang ramai dapat membantu meringankan beban kami terutamanya dalam mengurangkan beban membeli barang keperluan perubatan suami," katanya.

Katanya, dugaan mereka sekeluarga tidak terhenti di situ sahaja kerana anak kelimanya, Nabil Fikri, 33, yang sudah berkahwin dan bersama-sama menjaga suaminya turut menderita penyakit jangkitan kuman di dalam hati pada Januari lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03090020594578 atas nama Zaharah Daud atau boleh menghubungi anaknya Nabil Fikri di talian 019-9997101.

Keadaan ketumbuhan pada mata kanan Nawi Sulaiman. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Keadaan ketumbuhan pada mata kanan Nawi Sulaiman. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 4:16 PM