Mohd Yusof menolak kerusi roda dinaiki Pisah selepas menerima suntikan vaksin di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Mohd Yusof menolak kerusi roda dinaiki Pisah selepas menerima suntikan vaksin di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Alhamdulillah ibu setuju menerima vaksin Covid-19 selepas berkali-kali dipujuk.

"Tidak cukup dengan itu, kami turut menunjukkan bukti laporan media mengenai warga emas yang tidak menghadapi masalah kesihatan selepas menerima suntikan vaksin," kata Mohd Yusof Nordin, 50.

Katanya, usaha memujuk ibunya, Pisah Busu, 84, turut membabitkan empat adik beradik lain sebelum warga emas itu bersetuju menerima vaksin.

"Pada mulanya ibu keberatan mengambil vaksin. Jadi, kami berlima memainkan peranan untuk memujuk ibu.

"Puas kami memberikan penerangan kepada ibu mengenai kebaikan vaksin, selain memaklumkan tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenainya," katanya ketika ditemui selepas menemani ibunya menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, Pisah sepatutnya mengambil vaksin pertengahan bulan lalu tetapi terpaksa menangguhkannya kerana kurang sihat.

Dia berkata, ibunya dijangka menerima dos kedua pada 26 Jun ini.

Sementara itu, Pisah berkata, dia bersyukur diberikan vaksin berkenaan dan mengakui tidak mengalami sebarang kesan ketara selepas setengah jam disuntik.

"Alhamdulillah, saya berdoa agar Allah memberikan kesihatan yang baik dan memelihara saya daripada dijangkiti wabak itu," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghaffar Abdul Karim, 75, berkata, dia bersyukur kerana diberikan peluang menerima vaksin berkenaan selepas mendaftar dua bulan lalu.

"Alhamdulillah, segala penyakit datang daripada Allah dan kalau kita sihat pun, datang daripada-Nya juga tetapi kita wajib berusaha mencari ubat untuk mencegah penyakit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 4:01 PM