SEORANG lelaki cedera ditembak polis dalam kejadian amuk di Lorong Arowana 1, Jalan Bako, Kuching 11.30 pagi ini.
SEORANG lelaki cedera ditembak polis dalam kejadian amuk di Lorong Arowana 1, Jalan Bako, Kuching 11.30 pagi ini.
Melvin Joni


Kuching: Seorang lelaki cedera ditembak polis dalam kejadian amuk di Lorong Arowana 1, Jalan Bako di sini, pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam kejadian 11. 30 pagi itu suspek yang bersenjatakan parang menyerang beberapa jirannya dan anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, bertindak atas maklumat, dua MPV bergegas ke lokasi kejadian dan memujuk suspek, namun lelaki tempatan berusia 24 tahun itu meluru dan melibas parang ke arah anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, anggota terbabit melepaskan dua das tembakan yang mengenai kaki kiri dan kanan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Katanya, semakan turut mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan empat rekod jenayah harta benda.

"Suspek kini dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:45 PM