Van kilang yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 172.8 Lebuhraya Utara Selatan yang menyebabkan seorang pekerja kilang maut. FOTO IHSAN BOMBA
Van kilang yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 172.8 Lebuhraya Utara Selatan yang menyebabkan seorang pekerja kilang maut. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Bandar Baharu: Perjalanan empat pekerja kilang untuk mencari rezeki berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas van kilang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pikap di Kilometer 172.8 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, tiga penumpang lain terdiri dua lelaki dan seorang wanita serta pemandu van tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, mangsa lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia akibat parah di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila van kilang dari Selama, di sini, dalam perjalanan ke Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan membawa empat pekerja kilang.

"Setiba di lokasi, pemandu van kilang memandu di lorong kiri, namun secara tiba-tiba datang pikap dipandu seorang lelaki dari arah belakang lalu melanggar bahagian belakang van kilang itu.

"Keadaan itu menyebabkan van kilang berkenaan terbabas ke dalam longkang di kiri lebuh raya.

"Kemalangan menyebabkan mangsa yang berada dalam van kilang maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi, di sini.

Akmal Hizam berkata, mangsa lain berusia 22 hingga 44 tahun termasuk pemandu pikap berusia 30-an itu tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan terbabit pada 6.33 pagi.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang diketuai Shanizal Shaari dihantar ke lokasi.

"Hanya seorang mangsa dalam van itu didapati meninggal dunia selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kedua-dua kenderaan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 2:26 PM