- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh, daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat berkata, rayuan itu difailkan pendakwaan selaku perayu di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 13 April lalu.

"Rayuan itu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada 8 April lalu, yang melepas dan membebaskan Sabudin (responden) daripada pertuduhan rasuah di akhir kes pendakwaan," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Sabudin yang juga bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan, yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, di sini, antara 13 dan 19 Ogos 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 7:19 PM