GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Empat kilang di negeri ini diarah tutup selepas berlakunya penularan pandemik Covid-19 membabitkan pekerjanya sejak 20 Mei lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata premis industri yang masing-masing kilang di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah itu membabitkan kilang pemprosesan ayam, kilang sarung tangan, kilang elektronik dan kilang makanan.

Katanya, bagi premis di Melaka Tengah, antara yang ditutup ialah satu blok kilang elektronik di Batu Berendam bermula dari 21 Mei lalu sehingga Khamis ini, manakala kilang makanan di kawasan industri Ayer Keroh pula ditutup bermula 23 hingga Sabtu ini.

"Di Alor Gajah pula kita sudah mengarahkan tutup sebuah kilang pemprosesan ayam bermula 21 Mei hingga 3 Jun ini dan sebuah kilang sarung tangan bermula 20 Mei hingga 2 Jun disebabkan berlakunya jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

"Boleh dikatakan hampir semua kontak sudah disaring dan sebahagiannya disahkan positif Covid-19, sementara sebahagian kecil lagi masih menunggu keputusan seperti di kilang pemprosesan ayam yang membabitkan 600 pekerja itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ayer Molek, di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah kilang memproses ayam terbesar di daerah Alor Gajah dan terletak dalam Kawasan Perindustrian Masjid Tanah diarah menghentikan operasi sehingga 4 Jun ini.

Tindakan itu diambil susulan seramai 175 pekerja syarikat itu, kebanyakannya warga asing disahkan positif Covid-19 hari ini, selepas menjalani ujian calitan.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, sehingga kini sebanyak 30 kluster masih dikesan aktif di negeri ini dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, kebanyakan pesakit positif baharu di negeri ini akan ditempatkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang mula dibuka sejak Jumaat lalu.

"Setakat semalam, seramai 116 pesakit sudah ditempatkan di PKRC MITC," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 4:27 PM