Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Pasar Awam Looking Good Kampung Koh, Sitiawan, di sini, Sabtu lalu.

Tertuduh, Yeap Sen Sing, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan niat mendatangkan kecederaan terhadap Hong Koh Hwa, 46, yang juga seorang penjawat awam iaitu anggota Rela dalam melakukan tugas rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pasar berkenaan pada 6.40 pagi, 15 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

TERTUDUH (belakang sekali) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas pertuduhan mencederakan anggota Rela di Pasar Awam Looking Good Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
TERTUDUH (belakang sekali) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini, atas pertuduhan mencederakan anggota Rela di Pasar Awam Looking Good Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki bertindak di luar batasan apabila memukul dan meludah seorang anggota Rela selepas tidak dibenarkan masuk ke pasar pagi, Sabtu lalu.

Tindakan itu dipercayai dilakukan suspek selepas tidak berpuas hati apabila dilarang masuk ke pasar itu lebih awal daripada waktu operasi ditetapkan sebelum lelaki itu memukul mangsa dengan tangan, mengeluarkan kata kasar dan meludah muka mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 12:13 PM