Chow Kon Yeow menjawab soalan wartawan ketika sidang media di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow menjawab soalan wartawan ketika sidang media di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar. FOTO MIKAIL ONG
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi kelulusan kepada negeri itu untuk menerima sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 daripada sebuah syarikat swasta.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerima tawaran dua juta dos vaksin keluaran China yang turut digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, berikutan itu Setiausaha Kerajaan Negeri menulis surat kepada KKM berhubung perkara berkenaan pada Februari lalu.

"Namun dalam balasannya pada 12 Mac lalu, KKM berpandangan Pulau Pinang tidak perlu mempertimbangkan atau menerima sumbangan vaksin itu.

"Ini kerana, Kerajaan Persekutuan sudah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 di mana semua bekalan vaksin mencukupi kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mencapai imuniti kelompok.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri mahu KKM memberi kelulusan segera bagi membolehkan Pulau Pinang mempercepatkan proses imunisasi memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di negeri ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kebenaran itu perlu diberikan kerana kerajaan pusat sebelum ini memberi kebenaran kepada Selangor dan Sarawak untuk mendapatkan vaksin sendiri.

Katanya, setakat ini syarikat swasta itu masih bersedia untuk memberikan sumbangan vaksin Sinovac berkenaan, namun perlu menunggu kelulusan daripada KKM.

"Sumbangan vaksin ini dapat menjimatkan kos ditanggung kerajaan pusat di mana bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada Pulau Pinang boleh diagihkan kepada negeri-negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:28 PM