KEPULAN asap akibat kemusnahan serangan udara Israel ke atas Gaza. FOTO agensi
KEPULAN asap akibat kemusnahan serangan udara Israel ke atas Gaza. FOTO agensi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Malaysia melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menerusi perbahasan terbuka secara sidang video (VTC), Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau terjamin.

Menurutnya, Majlis Keselamatan PBB juga disaran menggunakan mekanisma sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin.

"Malaysia menekankan tiga perkara penting di VTC Majlis Keselamatan PBB seperti mereka perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB dan Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel.

"Ketiganya, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang gagal mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.

"Ini adalah sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB dalam minggu ini dan masih belum ada satu kenyataan yang dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.

"Atas sebab ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB. Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama Brunei Darussalam dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin," katanya.

Beliau berkata, PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB.

"Sekali lagi, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh regim Israel ke atas rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

"Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis," katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin bagi tujuan perluasan penempatan haram mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:51 PM