ALLAHYARHAM Haziq. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Haziq. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kematian mengejut atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin, 27, disahkan akibat komplikasi saluran darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Zahari Noor berkata, maklumat itu diperoleh hasil bedah siasat mayat di Hospital Kajang.

Katanya, sehingga kini, tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19.

"Kes disiasat oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kajang di bawah laporan kematian mengejut (SDR) dan arahan bedah siasat dikeluarkan untuk menentukan punca kematian.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan selepas calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif.

"Walaupun hasil bedah siasat sudah diperoleh, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal," katanya.

Haziq menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada 9.37 pagi Jumaat selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kajang.

Jenazah dibawa pulang ke Melaka dan disembahyangkan di Surau al-Taqwa, Taman Koperasi sebelum disemadikan di Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau pada 1.40 pagi tadi.

Pengebumian jenazah atlet itu hanya dihadiri keluarga terdekat itu dan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan adalah balu Allahyarham, Shahira Abdul Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Haziq pernah mewakili negara dalam dua temasya sukan iaitu Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016.

Beliau juga banyak mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Pemanah berasal dari Johor itu dikatakan sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:26 PM