SEBAHAGIAN anggota yang hadir sempena sambutan Hari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
SEBAHAGIAN anggota yang hadir sempena sambutan Hari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pengalaman mendapatkan kotak hitam pesawat MH 17 yang terhempas di Ukraine, 17 Julai 2014 adalah pengalaman yang sukar dilupa tiga pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang turut menyertai misi itu.

Pesawat penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika melalui kawasan bergolak di timur Ukraine dan mengorbankan 283 penumpang serta 15 anak kapal.

Peristiwa itu hampir tujuh tahun berlalu tetapi memori itu tetap terpahat dalam ingatan tiga pegawai Kor Kagat yang turut serta dalam misi mendapatkan kotak hitam dan menguruskan mayat mangsa yang terkorban.

Leftenan Kolonel Nadzri Musnman yang kini memegang jawatan Ketua Sel Perancangan dan Pembangunan (Jabatan Arah Kagat) berkata, dia bersama 12 lagi pegawai tentera Malaysia ditugaskan untuk membawa balik kotak hitam pesawat malang itu.

"Kami ditugaskan untuk menguruskan mayat mereka yang terbabit, manakala satu lagu pasukan bergerak ke Donetsk, Ukraine iaitu lebih 800 kilometer dari lokasi kami ketika itu di Kiev," katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas sempena Hari Kor Kagat Ke-36 di sini.

Katanya, sepanjang perjalanan bermula di Kiev, Kharkiv dan Donetsk, mereka tidak menggunakan baju kalis peluru dan topi keledar kerana tidak mahu disalah anggap susulan perjalanan ini perlu menempuh 10 'check point'.

"Setiap kali sampai ke lokasi 'check point' kami akan ditanya tujuan dan kami perlu berhati-hati kerana tidak mahu perjalanan kami dihalang tentera tempatan yang menjaga kawasan laluan kami untuk sampai ke Donetsk," katanya.

Bagi Pegawai Staf 1 Khidmat Agama Markas Angkatan Bersama, Leftenan Kolonel Nizar Zahrin Zakaria, ia satu pengalaman yang sukar dilupakan.

"Tugasan kami ada dua matlamat, membawa kotak hitam yang ditemui pihak tentera dan menguruskan jenazah untuk bawa keluar atau diserahkan kepada keluarga.

"Kami bawa jenazah guna kereta api dari Donetsk hingga ke Kharkiv dan ia perjalanan yang mencemaskan kerana kereta api ini kerap diserang... Kami hanya hanya berserah kepada Allah bagi memudahkan perjalanan," katanya.

Bagi Mejar Anuar Mohd Ehwal yang kini bertugas sebagai Ketua Unit Doktrin, Jabatan Arah Kagat, sebagai anggota Kagat, mereka sudah didedahkan dengan cara menguruskan jenazah yang tidak sempurna.

"Kita perlu biasa dengan keadaan jenazah mangsa perang misalnya, dan cuba menyerahkan jenazah kepada keluarga dalam keadaan paling baik.

"Asalnya misi kami dijadualkan untuk lima hari sahaja tetapi atas pelbagai masalah ia berlanjutan hingga 34 hari untuk dua penugasan utama kami yang perlu diselesaikan.

"Kami diajar sentiasa bersedia dengan cabaran dan turut bersama kami ialah wakil dari Jabatan Mufti dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bersama beberapa pegawai tentera pelbagai kor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 3:09 PM