GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menugaskan seramai 500 pegawai dan anggota penguat kuasa bagi kawalan serta pemantauan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga syif penugasan ditetapkan iaitu 12 tengah malam hingga 8 pagi, 9 pagi hingga 5 petang dan 4 petang hingga 12 tengah malam.

"Jabatan Penguatkuasaan turut menempatkan seramai 200 petugas Trafik Warden di lokasi hotspot (panas) bagi membantu melancarkan penyuraian trafik, terutama pada waktu puncak.

"Kawalan dan pemantauan secara harian dilaksanakan dengan mengutamakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pengunjung dan penjaja bazar," katanya.

Menurut kenyataan itu, DBKL juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti polis dan Jabatan Imigresen dalam memastikan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini berjalan lancar.

"Hebahan pematuhan SOP melalui alat siar raya menggunakan kenderaan sebagai medium untuk memaklumkan bahawa sesuatu kawasan itu sentiasa dipantau dan sebagai peringatan kepada pengunjung dan penjaja.

"Jabatan Penguatkuasaan berharap agar peniaga dan orang awam sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengawal jangkitan Covid-19 daripada terus menular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 5:29 PM