GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 680 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 630 individu dikompaun, manakala 49 individu pula direman dan seorang dijamin.

Menurutnya, antara kesalahan adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (140), tidak memakai pelitup muka (139), tiada penjarakan fizikal (136), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (80), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran(30) dan lain-lain (155).

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain enam kenderaan darat dirampas.

Katanya, pihak berkuasa turut mengesan 103 bot/kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

"Semalam, seramai 800 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara.

"Secara kumulatif, mulai 24 Julai 2020 sehingga 1 Februari 2021, seramai 114,861 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa," katanya pada sidang media mengenai PKP, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,367 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 78 Hotel dan 13 premis lain

termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Seramai 477 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 106,017 individu dibenarkan pulang.

"Semalam, seramai 7,262 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 85 didapati positif Covid-19," katanya.

Katanya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 273,032 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 11,340 majikan dengan 4,952 orang positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 5:10 PM