Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik pada 19 Ogos lalu.

Jamal, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama, Jamal pada 19 Ogos tahun lalu didakwa secara sedar memuat naik satu video kenyataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di Taman Dagang Avenue pada 10 pagi dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1)(a) dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jamal turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua di mana dia pada hari yang sama jam 3 petang didakwa secara sedar memuat naik satu video kenyataan jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan yang dibacakan.

Jamal didakwa di Mahkamah Ampang, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Jamal didakwa di Mahkamah Ampang, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal, memohon jaminan munasabah dikenakan terhadap anak guamnya.

"Anak guam saya turut menghadapi beberapa kes lain di Mahkamah Majistret Ampang, jadi saya mohon satu amaun jaminan yang munasabah dikenakan," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 18 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:48 AM