Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail, 36, (bertopi) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu.  FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail, 36, (bertopi) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM16,344 pada Disember 2017 dan Jun 2018.

Tertuduh, Muhammad Rasydan Ismail, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jamaludin Mat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Muhammad Rasydan dituduh dengan niat memperdayakan Unit Kewangan dengan menyerahkan kepada Penolong Akauntan Kanan satu invois berjumlah RM9,864, pada Disember 2017 dan satu invois bernilai RM6,480 kepada Penolong Akauntan pada Jun 2018.

Invois berjumlah RM9,864 dikeluarkan tertuduh bagi menyediakan makan minum untuk peserta Bengkel Pengurusan Operasi Banjir pada 3 hingga 5 Disember 2017 dengan mengetahui pembekalan makanan itu tidak dilaksanakan pada tarikh sebagaimana dalam tuntutan.

Invois kedua yang berjumlah RM6,480 pula dikeluarkan tertuduh pada Jun 2018 untuk pembekalan makan minum bagi peserta bengkel perancangan dan persediaan kawad kecekapan pada 6 hingga 8 Mei 2018 sedangkan mengenai pembekalan itu tidak dilaksanakan pada tarikh sebagaimana dalam tuntutan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kewangan, Akademi Bomba dan Penyelamat, Wilayah Timur, Marang pada Jun 2018 dan Disember 2017, yang mana dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman manakala, tertuduh diwakili peguam Nur Shahida Shaifuddin.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 4:01 PM