Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad, menafikan dakwaan kumpulan itu menahan pembayaran pembinaan projek Laluan Transit Ringan 3 (LRT3) kepada kontraktor projek siap bina, MRCB-George Kent Sdn Bhd (MRCBGK).

Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, malah kumpulan Prasarana sudah membuat pembayaran sebanyak RM3.468 bilion setakat 2 Oktober 2020 bagi pembayaran kerja yang sudah siap dibina.

Katanya, bagaimanapun pembayaran kepada subkontraktor adalah tanggungjawab MRCBGK dan bukan Prasarana.

"Kami sudah bayar mereka RM3.468 bilion dan ia bukan jumlah wang yang kecil. Tanggungjawab Prasarana sebagai pemilik projek hanya membayar kepada kontraktor siap bina iaitu kepada MRCBGK bukan kepada sub kontraktor yang dilantik oleh mereka.

"Namun begitu, bagi pembayaran bernilai RM380 juta untuk invois Oktober dan November 2020 belum dibuat Prasarana berikutan kekangan aliran tunai yang dihadapi kumpulan," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Menurutnya, Prasarana memperuntukkan sebanyak RM300 juta setiap bulan untuk menanggung kos perbelanjaan kumpulan.

"Sebagai entiti perniagaan, kita harus menguruskan kewangan dengan baik dan menjaga aliran tunai, malah tempoh Covid-19 ini pendapatan kumpulan merosot.

"Kita tak boleh terus luluskan pembayaran, perlu berdasarkan invois yang diberi, malah dalam keadaan sekarang kita perlu memastikan aliran tunai tidak defisit," katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan berita mengenai Prasarana menahan bayaran kepada MRCBGK bernilai RM700 juta dan jumlah itu mampu mencecah RM1 bilion jika mengambil kira kerja yang siap dilakukan pada Disember lalu.

Tajuddin juga didakwa memberi tekanan apabila mahu terbabit dalam keputusan pelantikan MRCBGK sebagai kontraktor bagi projek LRT3.

TAJUDDIN mengadakan sidang media khas mengenai isu semasa Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
TAJUDDIN mengadakan sidang media khas mengenai isu semasa Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Menjelaskan mengenai perkara itu, Tajuddin berkata, beliau menerima maklumat bahawa nilai kontrak cuba diubah dan dikecilkan supaya kerja bina dapat dibuat pada kos murah.

"Ini tidak adil untuk kontraktor dan saya sebagai pengerusi kena ambil tahu kerana sebagai pemilik projek kita nak tengok semua berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 9:07 PM