Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli ketika sedang berucap merasmikan Mesyuarat Agong UMNO Bahagian Port Dickson di Port Dickson Golf Club. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli ketika sedang berucap merasmikan Mesyuarat Agong UMNO Bahagian Port Dickson di Port Dickson Golf Club. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kenyataan pemimpin Umno di peringkat pusat harus senada agar tidak mengelirukan ahli di peringkat bawah.

Umno memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Port Dickson iaitu Bagan Pinang dan Linggi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketua Umno Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli berkata, Umno harus membuat persiapan untuk menghadapi PRU-15 akan datang dan pemimpin harus senada dalam mengeluarkan kenyataan.

"Kita boleh terus berkuasa jika tidak berlaku perpecahan terutama orang Melayu seperti yang berlaku dalam PRU-14 lalu.

"Kerjasama bersama Pas menunjukkan kebangkitan selepas memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini atas nama Muafakat Nasional (MN)," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza merangkap Adun Linggi dan Adun Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

Beliau mengakui akan mempertahankan dua kerusi Dun dimenangi Umno pada PRU-14 walaupun memperoleh kurang majoriti undi selepas berlaku tsunami politik pada PRU-14.

"Kita tiada pengalaman menjadi pembangkang, tetapi kita menjadi pembangkang yang kuat sehingga Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas memerintah 22 bulan.

"Perpecahan orang Melayu akan membawa musibah dan kita sudah rasa bagaimana sukarnya bergerak dalam keadaan terbatas dan MN yang ditubuhkan bersama Pas membantu menguatkan kembali kuasa politik kepada orang Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 3:21 PM