MOHAMAD bergantung kepada alat bantuan pernafasan akibat lemah jantung serta paru-paru berair. FOTO Adnan Ibrahim
MOHAMAD bergantung kepada alat bantuan pernafasan akibat lemah jantung serta paru-paru berair. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Tanpa alat bantuan pernafasan walaupun hanya lima minit sudah membuatkan seluruh tubuhnya lemah malah boleh menyebabkan dia kehilangan nyawa.

Itulah kehidupan Mohammad Suriati, 49, yang menghidap penyakit lemah jantung serta paru-paru berair sejak lapan tahun lalu

Kedua-dua kaki Mohamad turut membengkak dan semakin hari semakin membesar akibat daripada penyakit buah pinggang yang dihidapinya lebih lima tahun lalu.

Isterinya, Norazliza Ahmad, 47, berkata, suaminya mula bergantung harap kepada alat bantuan pernafasan itu sejak enam bulan lalu apabila jantungnya hanya 27 peratus berfungsi.

Katanya, keadaan itu menyebabkan bapa kepada tiga anak berusia 13 hingga 24 tahun itu tidak lagi mampu bergerak jauh walaupun hanya berjalan di dalam rumah serta tidak boleh bercakap banyak.

"Akibat daripada penyakit dihidapinya, dia sudah dinasihatkan oleh pihak kilang tempat bekerja untuk duduk di rumah saja namun dibayar gaji pokok sepanjang tempoh enam bulan hingga hujung Disember nanti.

"Selepas itu, gajinya dikurangkan kepada kira-kira RM1,000 bermula Januari hingga Jun tahun hadapan sebelum ditamatkan perkhidmatan sekiranya semua penyakit dihidapinya gagal sembuh kembali," katanya ketika ditemui di Taman Anggerik Merah, dekat sini, hari ini.

Norazliza berkata, apa yang membimbangkan dia adalah apabila gaji suami dipotong bulan Januari nanti kerana alat bantuan pernafasan yang digunakan ketika ini disewa dengan bayaran RM320 sebulan daripada sebuah klinik swasta di Kluang.

"Selain keperluan alat bantuan pernafasan, dia juga memerlukan lampin pakai buang yang menelan belanja kira-kira RM450 sebulan selain kos perubatan lain ketika mendapatkan rawatan susulan di hospital berdekatan.

"Walaupun mendapat sedikit bantuan kewangan daripada anak sulung yang sudah bekerja, namun dua lagi anak kami masing-masing masih bersekolah dan menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan mereka berdua amat memerlukan kewangan yang tinggi," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Mohamad boleh menghubungi isterinya, Norazliza di talian 019-8414574 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 11:39 AM