DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,012 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini, dengan empat kematian dilaporkan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak di negara ini meningkat kepada 75,306 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,862 kes.

Menurutnya, terdapat tujuh kes import manakala selebihnya adalah kes penularan tempatan.

"Jumlah kes harian tertinggi dilaporkan di Selangor hari ini membabitkan 417 kes, diikuti Sabah (271 kes) dan Johor (108 kes).

"Sebanyak 44 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (24 kes), Kluster Bakti (18 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (dua kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,750 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 64,056 kes atau 85.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, terdapat 126 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, empat kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah kepada 388 kes.

"Kes kematian ke-385 (kes ke-25,285) membabitkan wanita berusia 64 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi," katanya.

Katanya, dua kematian (kes ke-69,413 dan 68,327) membabitkan wanita berusia 90 dan 92 tahun yang dilaporkan sudah meninggal dunia sebelum jenazah dibawa ke Hospital Lahad Datu serta Hospital Tuaran.

Beliau berkata, satu lagi kematian (kes ke-70,589) membabitkan wanita berusia 33 tahun menghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik yang meninggal dunia di Hospital Tawau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:45 PM