Muhaamad Hafis Nawawi


Rawang: Walaupun sudah beberapa kali diberi notis supaya menghentikan operasi, tiga premis haram yang dibina atas tanah kerajaan berhampiran sungai di Taman Garing Permai, di sini, sejak lima tahun tetap berdegil apabila pemiliknya terus beroperasi.

Akibatnya, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak melakukan operasi perobohan bermula 9.30 pagi hari ini yang turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, operasi itu membabitkan satu stor menyelenggara dan membaiki jentera berat, stor barang lusuh dan sebuah syarikat yang mengendalikan aktiviti kandang lembu serta reban ayam.

Menurutnya, premis terbabit terletak atas tanah kerajaan sejak lima tahun lalu dan mereka masih berdegil dan terus beroperasi meskipun pelbagai notis arahan supaya mengosongkan premis ini diberikan.

"Kedudukan premis ini turut dikesan berhampiran sungai dalam 10 meter dan ia adalah antara perkara diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bahawa semua premis berhampiran sungai akan dirobohkan.

"Pihak pejabat tanah dan MPS sudah mengeluarkan notis dan pemakluman supaya pemilik premis mengosongkan kawasan berkenaan termasuk yang terbaru minggu lalu, namun tiada sebarang tindakan untuk berpindah dibuat oleh mereka," katanya pada sidang media ketika ditemui pada operasi itu, hari ini.

Shamsul Shahril berkata, walaupun ada sedikit provokasi berlaku di kadang lembu apabila pemiliknya enggan memindahkan haiwan itu, operasi tetap lancar.

"Mereka juga ada memohon untuk lesen operasi sementara terhadap aktiviti perniagaan namun tiada sebarang kebenaran diberikan.

"Bagaimanapun pada masa ini kita tidak merobohkan keseluruhan struktur stor sebaliknya hanya sebahagian sahaja, dan turut memberi peluang kepada mereka selama dua hari untuk mengalihkan jentera berat bernilai tinggi dan barang-barang penting yang lain," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada kesan pencemaran dari kilang atau bengkel yang diroboh membabitkan enam setakat ini dan tinggal lagi dua premis untuk dirobohkan.

"Pejabat Tanah dan MPS juga akan membuat bancian semula untuk kilang atau bengkel yang dibina atas tanah kerajaan," katanya.

Selain itu, beberapa unit kontena yang dipercayai menjadi kediaman pekerja stor berkenaan, stor barang lusuh serta kandang lembu dan ayam turut diroboh manakala lebih 30 ekor lembu turut disita oleh MPS dalam operasi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 3:18 PM
MPS merobohkan bengkel jentera berat di Rawang. FOTO Mahzir Mat Isa
MPS merobohkan bengkel jentera berat di Rawang. FOTO Mahzir Mat Isa