GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua kluster baharu berkaitan penularan Covid-19 dikenal pasti di Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikenali Kluster Malawati membabitkan daerah Kuala Selangor dan Kluster Tapak Bina Awan Lembah membabitkan tiga daerah iaitu Lembah Pantai, Titiwangsa serta Klang.

"Kes indeks bagi Kluster Malawati (kes ke-65,188) dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November lalu hasil saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, sejumlah 143 individu disaring dengan 14 individu dikesan positif," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai Kluster Tapak Bina Awan Lembah, Dr Noor Hisham berkata, dua kes indeks dikesan (kes ke-69,722 dan 71,992) yang dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala serta saringan kendiri pada 4 Disember lalu.

"Mereka adalah pekerja di sebuah tapak pembinaan di Titiwangsa.

"Sehingga hari ini, sejumlah 441 individu disaring dengan 35 individu dikesan positif dalam kluster ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat sebanyak 390 kluster dilaporkan dengan 203 sudah diisytihar tamat termasuk Kluster Kertang dan Kluster Sembulan yang tamat, hari ini.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 187 kluster termasuk 51 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini.

Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bakti (500 kes), Kluster Batu Tujuh (53 kes) dan Kluster Tembok (49 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:48 PM