Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Setiap kali hujan lebat, dua keluarga di Kampung Tebing Tinggi di sini, berdepan dengan situasi sukar apabila rumah mereka akan dinaiki air.

Situasi itu semakin buruk apabila air itu tidak akan surut sekelip mata, sebaliknya menyebabkan kawasan sekitar digenangi air dan menjadikan dua rumah dihuni sembilan ahli keluarga itu seperti pulau.

Md Zulfaisal Muda, 39 berkata, apabila hujan lebat, air bertakung mencecah 0.5 meter di luar rumah hanya akan surut dalam masa beberapa hari disebabkan tiada saliran perparitan untuk mengalirkan air itu ke sungai yang 150 meter dari rumahnya.

Menurutnya, keadaan semakin meruncing apabila musim tengkujuh apabila hujan berterusan dan air akan mencecah sehingga 0.7 meter menyebabkan dia tiga beranak dan adiknya, Mohd Zulfairi, 36, yang tinggal berjiran bersama isteri serta empat anak terpaksa meredah air di paras paha untuk keluar ke mana-mana.

"Kami sudah mengalami keadaan ini lebih 30 tahun dan setiap kali hujan lebat atau menjelang musim tengkujuh, kami buntu mengenangkan apa perlu dibuat.

"Bukan sahaja menyukarkan pergerakan, binaan rumah saya dan adik yang tinggal berjiran menjadi reput, malah kereta Proton Satria saya turut rosak kerana tidak sempat diselamatkan ketika air naik di awal pagi empat tahun lalu," katanya.

KEADAAN rumah yang didiami Md Zulfaisal. FOTO SITI ROHANA IDRIS
KEADAAN rumah yang didiami Md Zulfaisal. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Md Zulfaisal berkata, setiap kali musim hujan atau banjir kenderaan mereka akan diletakkan di rumah jiran sebelum sebelum meredah air untuk pulang ke rumah masing-masing.

Menurutnya, air yang lambat surut itu mendatangkan banyak kesulitan buat mereka termasuk ibu bapa yang meninggal dunia dan tidak dapat diuruskan di rumah sendiri.

"Arwah mak dan ayah yang meninggal dunia dua dan lima tahun lalu tidak dapat diuruskan di rumah ini kerana kebetulan ketika itu hujan lebat dan terpaksa dibawa ke rumah abang tidak jauh dari sini.

"Saya ada mengadu kepada pemimpin setempat mengenai masalah ini, namun diberikan alasan sukar menyediakan saliran kerana membabitkan kawasan rumah jiran lain dan pembinaannya nanti dikhuatiri akan masuk ke tanah orang lain.

"Mengenangkan rumah didiami sekarang adalah rumah pusaka, saya terpaksa terus bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:36 PM