Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Kehidupan Muhamad Danial Mohamad Nasri, 8, yang sebelum ini lasak bertukar menjadi lemah apabila disahkan mengidap kanser otak tahap empat, Julai lalu.

Kanak-kanak itu yang sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan Jitra 2 kini lebih banyak berehat di rumah di Taman Kenanga, di sini.

Ibunya, Azlina Abdul Aziz, 29, berkata, anaknya sulung dari dua beradik itu sebelum ini kerap muntah menyebabkan dia dan suami, Mohamad Nasri Juwanda, 30, membawanya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor kemudian memaklumkan anaknya hanya menghidap gastrik ketika itu.

"Namun keadaannya berlarutan dan kami kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Tunjang sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Doktor memaklumkan anak saya perlu menjalani pembedahan membuang air dalam kepala dan ditahan di wad selama dua minggu sebelum disahkan menghidap kanser," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Azlina berkata, suaminya hanya bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah kedai kek di Pekan Jitra dengan pendapatan hanya RM1,200.

Katanya, mereka menerima bantuan bulanan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia tidak mencukupi kerana perlu berulang-alik ke HSB di Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Gaji suami juga dipotong kerana kerap tidak hadir bekerja untuk menguruskan anak ke hospital kerana saya tidak bekerja.

"Kadang suami dapat RM400 atau RM600 mengikut jumlah hari dia datang bekerja namun kami reda dengan apa yang berlaku ditambah pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini, kami perlu berjimat," katanya.

Azlina berkata, ada kalanya suami terpaksa membawa anak bongsu mereka yang berusia empat tahun ke tempat kerja kerana tidak ada yang menjaganya jika Muhamad Danial ditahan di wad.

Katanya, mereka kini tinggal bersama keluarga mentuanya malah ibu mentua turut menghidap kanser payudara.

"Saya kena bantu uruskan segala kerja di rumah dan Muhamad Danial akan menjalani rawatan susulan di HPP pada 24 November ini menyebabkan kami memerlukan wang untuk menjaganya sepanjang berada di sana," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang hendak membantu keluarga Muhamad Danial boleh menghubungi bapanya di talian 019-4162711.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal membantu menghulurkan sumbangan kepada Muhamad Danial hari ini.

Katanya, selain sumbangan wang dan barangan keperluan, sokongan keluarga dan masyarakat juga perlu untuk membantu memberi semangat kepadanya untuk meneruskan perjuangan.

MUHAMMAD Danial Mohd Nasri,8, mengidap penyakit kanser otak ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Kenanga,Jitra.  FOTO Amran Hamid
MUHAMMAD Danial Mohd Nasri,8, mengidap penyakit kanser otak ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Kenanga,Jitra. FOTO Amran Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 4:39 PM