Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Polis membongkarkan kegiatan sindiket pengedaran dadah didalangi tiga pemandu e-hailing dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Butterworth, di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan 12.40 tengah malam, polis merampas sejumlah dadah iaitu pil ekstasi, ketamin dan serbuk minuman mengandungi Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM40,729 serta menahan empat ahli sindiket terbabit berusia 26 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal polis mendapati pangsapuri itu dijadikan lokasi simpanan dadah sebelum dijual kepada individu yang mahu mengadakan pesta liar.

"Sindiket dipercayai membuka pek asal serbuk minuman pelbagai perisa dan mencampurkannya dengan MDMA sebelum menutup semula pek berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Mereka kemudian menjual minuman bercampur dadah itu di restoran, pusat hiburan atau mereka yang ingin menganjurkan pesta liar.

"Siasatan juga mendapati tiga pemandu e-hailing menjual minuman bercampur dadah itu kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Katanya, sindiket terbabit beroperasi sejak setahun lalu dengan menjual setiap bungkus serbuk minuman pada harga RM250.

"Saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah, manakala wanita itu pula negatif dan mereka tiada rekod jenayah," katanya.

Katanya, pihak polis turut menyita dua kereta Honda City dan Toyota Prius bernilai RM87,400 untuk siasatan.

"Empat suspek itu direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:27 PM