PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia bergambar selepas selesai melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di Plaza Hentian Kajang. FOTO FATHIL ASRI.
PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia bergambar selepas selesai melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di Plaza Hentian Kajang. FOTO FATHIL ASRI.
Saipul Adli Mohamad; Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Penularan wabak Covid-19 daripada Kluster Utama di Petaling kini sudah membabitkan tiga generasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu membabitkan pekerja sebuah pusat beli-belah dan menjangkiti ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat satu kes baharu daripada kluster itu hari ini manakala dua kes dilaporkan semalam.

"Setakat ini, 251 individu positif membabitkan 211 individu sembuh manakala 40 individu masih dirawat di hospital serta pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah.

"Seramai 1,709 individu disaring sehingga kini dan kita lihat masih ada jangkitan kes iaitu bukan di pusat beli-belah berkenaan, tapi mungkin di rumah membabitkan generasi ketiga dan keempat," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster berkenaan membabitkan beberapa daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Selangor, Sepang, Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong, Cheras dan Alor Gajah di Melaka.

Beliau berkata, kes di Alor Gajah itu dikesan berikutan terdapat pekerja yang pulang ke kampung.

Sehubungan itu, beliau menasihati individu dikesan sebagai kontak dan diberi arahan kuarantin di rumah (HSO) supaya tidak merentas sempadan, negeri atau daerah lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:55 PM