FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Wujud keperluan untuk kerajaan menangguhkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi mengambil kira keadaan Covid-19 di negara ini.

Salah satu kaedah yang dicadangkan ialah pengisytiharan darurat kerana pilihan raya kecil berkenaan adalah proses sah dalam amalan demokrasi.

Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, biarpun ia adalah satu perkara yang membimbangkan kepada sesetengah orang tetapi ia adalah mekanisme disediakan dalam perlembagaan untuk mengatasi masalah berkaitan.

"Ia adalah kehendak di dalam perlembagaan yang perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dengan satu pilihan raya kecil.

"Proses ini tidak dapat dielakkan melainkan kita menggunakan Perkara 150 iaitu berkaitan darurat," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan PRK Batu Sapi 5 Disember ini.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi dalam sidang media di Menara SPR di sini hari ini berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Mengulas mengenainya, beliau berkata, di dalam perlembagaan apabila wujud proses penamaan calon, tidak ada mekanisme yang boleh mengawal mana-mana pihak atau parti politik atau calon bebas untuk menawarkan diri bertanding di dalam pilihan raya.

"Apabila mereka cukup syarat, mereka boleh bertanding. Jika berlaku sedemikian, kita tidak boleh elakkan proses pengundian dan kempen.

"Di dalam sistem kita, terdapat kaedah untuk kita menjalankan pilihan raya. Ia tak dapat ditukar melalui arahan Menteri Besar atau kabinet kerana ia adalah undang-undang yang diluluskan di parlimen.

"Jika ada cadangan untuk proses pengundian atas talian dan sebagainya ia perlu melalui proses perundangan terlebih dulu dan tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat sebelum pilihan raya kecil ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 4:44 PM