GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang wanita warga Vietnam cedera ketika cuba melarikan diri dalam serbuan polis membanteras kegiatan pelacuran di sekitar bandar Batu Pahat di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Rungai berkata, serbuan pada jam 11 malam yang menumpukan dua lokasi berbeza itu berjaya menahan enam wanita Vietnam yang disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, dua suspek cuba melarikan diri dengan memanjat siling premis sebelum terjatuh.

"Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.

Menurutnya, semua suspek berusia 29 hingga 47 itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana menjadi pengawal rumah penyundalan serta Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan mendapati semua wanita berkenaan menawarkan RM70 hingga RM150 bagi setiap perkhidmatan dan mensasarkan pelanggan dalam kalangan lelaki warga asing sahaja.

"Dalam serbuan berkenaan polis turut menahan tiga orang pelanggan warga asing bagi membantu siasatan.

"Antara barang yang dirampas dalam serbuan berkenaan adalah kondom, tisu dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4363300.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 5:40 PM