FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Dua sekolah termasuk sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus yang terpaksa ditutup sejak Isnin lalu akan dibuka semula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir yang ditutup selama lima hari disebabkan penularan Covid-19 akan dibuka selepas kerja sanitasi selesai dilakukan.

Menurutnya, semua murid dan pelajar dari dua sekolah itu sudah disahkan negatif selepas menjalani proses kuarantin di pusat kuarantin di Marang dan Besut.

"Dua sekolah itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja sanitasi berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Dua sekolah itu terpaksa ditutup dan murid serta pelajar terpaksa menjalani kuarantin susulan beberapa murid dikatakan mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu," katanya.

Mengulas mengenai Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di Dungun ditutup yang selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu, sekolah itu akan mula dibuka Khamis depan.

Menurutnya, sekolah itu ditutup selama tujuh hari bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja sanitasi dijalankan.

"Seramai 66 orang guru dan 832 pelajar sekolah itu sudah menjalani saringan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 7:09 PM