Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Penjawat awam dinasihati supaya tidak menggunakan atau memiliki kenderaan klon atau berdepan tindakan tatatertib.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan

Hanif Yusabra Yusuf berkata, setakat ini, tidak ada penjawat awam yang direkodkan mengguna atau memiliki kenderaan klon, namun mereka tetap diingatkan supaya tidak terbabit dengan elemen berkaitannya.

"Sekiranya didapati ada penjawat awam yang terbabit dengan kenderaan klon, kami akan laporkannya kepada pihak atasan jabatan mereka untuk dikenakan tindakan tatatertib di atas kesalahan memandu kenderaan klon.

"Kami pandang serius penggunaan kenderaan klon dan tidak mahu penjawat awam atau sesiapa sahaja terbabit dengannya.

"Ini kerana, selain tindakan undang-undang, pemandu atau penumpang kenderaan klon juga berdepan risiko tidak dilindungi insurans sekiranya terbabit kemalangan," katanya kepada media selepas Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2020 di Pejabat JPJ Panji di sini, hari ini.

Lelongan itu membabitkan 47 kenderaan klon dengan jumlah kutipan ialah RM837,000. Bidaan tertinggi membabitkan Subaru Impreza dengan nilai bidaan RM41,000.

Seramai 129 pembida hadir pada lelongan yang berlangsung hampir tiga jam bermula jam 9 pagi.

Hanif Yusabra berkata, kebanyakan kenderaan klon diiklankan adalah yang tidak boleh didaftarkan terutama dari negara jiran seperti Singapura dengan harga serendah RM4,500.

"Golongan berusia 35 hingga 45 tahun tertarik dengan kenderaan klon disebabkan ia masih cantik dan berkeadaan elok yang sesuai untuk digayakan selain harga yang ditawarkan juga terlalu murah iaitu 50 peratus daripada harga pasaran sebenar di Malaysia.

"Antara kenderaan klon yang menjadi tumpuan atau popular di Kelantan ialah Honda, Mercedes Benz, BMW dan Toyota," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan kenderaan klon dijual secara dalam talian dan mereka yang ditahan tidak menyedari kenderaan dipandu adalah kenderaan klon.

"Sebelum ini, penjual kenderaan klon bergerak secara senyap namun kini, selain dalam talian, mereka turut menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram," katanya.

Menurut beliau, sejak penguatkuasaan dilakukan oleh JPJ pada 2011, tujuh tangkapan sudah dibuat.

Melalui operasi khas yang dijalankan pada 2015 dan 2016, 147 kenderaan klon disita dan sehingga kini, 204 kenderaan klon ditempatkan di JPJ Kelantan.

"Sebanyak 21 kes sudah diselesaikan di mahkamah membabitkan denda RM379,300 dikenakan kepada pemilik kenderaan klon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 3:17 PM
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf (kiri) memeriksa kenderaan klon ketika Majlis Pelelongan Awan Kenderaan Sita Siri 1/2020 di Pejabat JPJ Panji, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf (kiri) memeriksa kenderaan klon ketika Majlis Pelelongan Awan Kenderaan Sita Siri 1/2020 di Pejabat JPJ Panji, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI