GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih fasa dua yang membekalkan air ke Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar masih diteruskan seperti biasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, ini kerana LRA Semenyih fasa dua berkapasiti 100 juta liter sehari (MLD) itu mendapat bekalan dari Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berpunca dari Sungai Langat.

Beliau berkata, penutupan LRA Semenyih hanya membabitkan fasa satu saja berkapasiti 650 MLD yang mendapat sumber air mentah dari Sungai Semenyih manakala operasi bagi fasa dua diteruskan seperti biasa.

"Sehingga kini TAPS sudah dibina di LRA Semenyih fasa dua dan ia terus beroperasi membekalkan ke Bandar Baru Bangi dan sekitarnya manakala bagi LRA Semenyih fasa satu kerajaan merancang untuk membina TAPS sejak 2017," katanya melalui Facebook, hari ini.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke dua loji berkenaan.

Henti tugas loji itu menyebabkan 274 kawasan terjejas dengan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Zaini berkata, bagi Putrajaya pula, ia mempunyai tangki air yang besar atau reservoir kira-kira 110 juta liter (ML) yang boleh bertahan selama beberapa hari bergantung kepada kadar penggunaan.

TAPS berfungsi sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama sungai.

TAPS adalah kaedah penyimpanan air mentah dengan cara mewujudkan kolam di kawasan hilir dan pinggir sungai serta berhampiran loji dengan ia kini diguna pakai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 12:24 PM