FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Satu kluster baharu dikesan berlaku di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2, Selangor, yang sudah menjangkiti tiga individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu membabitkan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal.

"Tahanan terbabit disaring di sebuah klinik kesihatan sebelum dikesan positif pada 27 Ogos lalu (kes ke-9,302).

"Kes kedua dan ketiga (kes ke-9,382 dan ke-9,384) adalah pegawai imigresen di DTI berkenaan yang mengiringi kes indeks ke klinik kesihatan. Mereka adalah dua daripada empat pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat dijalankan membabitkan seramai 269 orang di Selangor serta Negeri Sembilan.

Katanya, setakat ini 123 individu negatif manakala 143 masih menunggu keputusan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di DTI Semenyih," katanya.

Mengenai Kluster Telaga, Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes dikesan positif dalam kluster itu sebanyak lapan kes.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 2,743 orang disaring dalam kluster itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:23 PM