GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Gelagat gelisah seorang lelaki di hadapan rumahnya membongkar kegiatannya menjadikan kediaman itu sebagai port untuk menghisap dadah di Seberang Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.15 malam, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah melihat lelaki berusia 35 tahun itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, anggota polis menghampiri lelaki berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

"Ketika pemeriksaan fizikal dilakukan, polis menemui sebuah beg sandang yang dipakai lelaki berkenaan mengandungi satu rangkai kunci serta bil air yang tertulis nama serta alamat rumah didiami lelaki itu.

"Polis meminta lelaki terbabit membuka pintu rumah sebelum menemui seorang lelaki berusia 31 tahun serta seorang wanita warga Thailand berusia 19 tahun sedang duduk di atas lantai ruang tamu sambil menghisap dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu menemui peralatan menghisap dadah dan empat peket dadah jenis methamphetamine seberat 236 gram (g) bernilai RM23,600.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan dan kesemua barang kes berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati suspek pertama yang juga penganggur mempunyai tiga rekod kes dadah dan satu rekod jenayah, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 3:29 PM