S Sugumar dan Herman Muharam dikehendaki polis.
S Sugumar dan Herman Muharam dikehendaki polis.
Oleh Nurul Amanina Suhaini


POLIS negeri ini sedang mengesan dua anggotanya yang berpangkat Koperal yang gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Khamis lalu, atas pertuduhan membantu ahli sindiket jenayah terancang Geng Otong.

Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, waran tangkap terhadap mereka sudah dikeluarkan, namun sehingga kini dua anggota itu belum tampil menyerah diri.

Katanya, S Sugumar, 39, dikehendaki bersabit kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan alamat terakhirnya di 25, Jalan SU21, Taman Selayang Utama, Batu Caves, Selangor.

"Turut dikehendaki, Herman Muharam, berusia 36 tahun yang beralamat terakhir di 22, Jalan SP 1/13, Taman Subang Perdana, Shah Alam, Selangor.

"Maklumat berkaitan kedua-duanya boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Lim Chau Seong di talian 019-3237127, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182222 atau balai polis berhampiran," katanya pada kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar antara enam anggota penguat kuasa yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Khamis lalu, kerana membantu ahli kumpulan jenayah terancang di daerah itu antara September 2017 hingga April 2020.

Turut didakwa seorang anggota tentera berpangkat Sarjan dan empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal.

Enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Pada 2 Julai lalu, 51 anggota Geng Otong termasuk warga Indonesia dan Myanmar didakwa di mahkamah sama, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang kerana mendalangi sindiket penyeludupan PATI, antara 2015 hingga tahun ini.

Semua tertuduh berusia 21 hingga 59 tahun itu membabitkan 19 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, tiga pemastautin tetap, 25 warga Indonesia termasuk seorang wanita serta dua lelaki Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:33 PM